Sarawak bakal lahirkan ramai doktor veterinar, kata Dr Rundi

Dr Rundi (tiga kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 13 Nov: Sarawak bakal melahirkan lebih ramai doktor veterinar, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia bagi mengatasi kekurangan dalam bidang tersebut.

Kata Dr Rundi, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) bakal menambahkan program Doktor Perubatan Veterinar bagi tujuan itu.


“Kementerian saya akan memberi sokongan penuh kerana ini merupakan jalan ke hadapan kepada memenuhi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) menjelang tahun 2030,” kata Dr Rundi.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penghargaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) 2023 di sebuah hotel di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Dr Rundi berkata, JPVS memerlukan kerjasama penuh pihak berkuasa tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO) dan pemilik anjing di seluruh Sarawak bagi membasmi wabak rabies.

“Kita perlu menempatkan usaha membendung wabak rabies di kawasan pinggir bandar dan kemudiannya di persekitaran bandar.

“Ini hanya dapat dilakukan khususnya dengan kerjasama majlis bandar dan komuniti bandar,” ujarnya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022, sijil Penghargaan Pesara 2023 dan sijil Penghargaan Kakitangan Tamat Kontrak 2023 kepada para penerima. — DayakDaily