Oleh Chris Bishop
KUCHING, Okt 28: Edisi ke-2 Sarawak Agrofest 2019 akan diadakan bermula November 21 hingga Disember 1 di Dataran Perayaan Stadium Negeri, Petra Jaya di Kuching.
Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah pada satu sidang media hari ini berkata penganjuran tahun ini bakal disertai 300 pempamer dari seluruh Sarawak termasuk dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.
“Jumlah penyertaan pempamer pada tahun ini meningkat 100 jika dibandingkan hanya 200 pada tahun 2018.
“Agensi kerajaan yang berkaitan dan institusi juga akan turut serta mempamerkan polisi baharu pertanian dan perkhidmatan dalam pembangunan sektor pertanian di Sarawak,” katanya.
Beliau juga menasihati golongan belia terutama para graduan untuk mengunjungi festival tersebut agar mereka boleh mempelajari kaedah pertanian moden yang menggunakan ‘Internet of Things’(IoT).
Katanya, festival menyediakan pameran berkaitan kaedah pertanian moden seperti rumah hijau (‘greenhouse’) dan stesen pertanian di Rampangi adalah contoh terbaik.
“Di stesen Rampangi, tanaman diusahakan menggunakan kaedah fertigasi dan semua kerja termasuk pengunaan baja dan air dikawal melalui telefon pintar,” katanya.
Festival yang dahulunya dikenali Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) menggabungkan pameran dan jualan, persidangan dan seminar, pemadanan perniagaan, jualan makanan, zoo mini, permainan, peraduan dan hiburan.
Tema penganjuran Sarawak Agrofest 2019 ialah ‘Transformasi Pertanian Melalui Teknogi Pintar’.
Turut hadir pada sidang media Menteri Muda Pertanian Datuk Dr Abdul Rahman Ismail. — DayakDaily