Sarawak agih insentif RM2.256 juta kepada pemenang pingat Para Sukma 2024

Abang Johari mempamerkan trofi juara keseluruhan Para Sukma 2024.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Okt: Sarawak mengagihkan insentif secara keseluruhan berjumlah RM2.256 juta kepada pemenang-pemenang pingat di Para Sukan Malaysia (Sukma) 2024 baru-baru ini.

Insentif telah disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Advertisement

“Pada Para Sukma 2024, Sarawak telah memenangi banyak pingat emas, perak dan gangsa.

“Jumlah keseluruhan insentif ialah RM2.256 juta,” kata Abang Johari di Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak sempena Temasya Para Sukma Sarawak 2024.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga telah mengagihkan insentif berjumlah RM1.84 juta kepada atlet yang memenangi pingat di Sukma 2024 pada Ogos lepas.

Dengan itu jelas beliau, Sarawak telah mengagihkan lebih RM4 juta kepada atlet-atlet Sarawak.

“Kita (Sarawak) muncul juara bagi kedua-dua Sukma dan Para Sukma tahun ini.

“Ini adalah satu rekod cemerlang oleh atlet-atlet Sarawak,” ujar Abang Johari.

Pada Temasya Para Sukma 2024, Kontinjen Sarawak telah berjaya mengalas juara keseluruhan dengan kutipan 209 pingat.

Daripada jumlah ini, 82 adalah pingat emas, 53 pingat perak dan 74 pingat gangsa.

Kerajaan Sarawak telah bersetuju memberi insentif sebanyak RM15,000 kepada pemenang pingat emas, manakala perak (RM5,000) dan gangsa (RM3,000).

Dalam majlis yang sama, Abang Johari turut menyampaikan insentif RM500,000 kepada atlet Paralimpik Bonnie Bunyau Gustin. — DayakDaily

Advertisement