SAR mangsa terjun sungai di Simunjan ditangguh hingga siasatan polis selesai

Anggota Bomba dan Penyelamat serta pihak polis yang terlibat dalam Ops SAR bagi mencari mangsa yang dikata terjun ke Batang Sadong untuk melarikan diri.
Advertisement

SIMUNJAN, 12 Feb: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai terjun ke Batang Sadong semalam ditanguhkan sementara hari ini sementara menunggu hasil siasatan pihak polis berkenaan insiden tersebut.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, menurut laporan yang diterima semalam, mangsa dikatakan bertindak terjun ke sungai berkenan bagi melarikan diri selepas bergaduh dengan salah seorang penduduk Kampung Sungai Buluh.

“Ketika kejadian terdapat beberapa orang di lokasi mangsa dikatakan terjun dan cuba untuk menyelamatkan mangsa ketika itu.

Advertisement

“Bagaimanapun, mangsa terus melarikan diri dan tidak dapat dipastikan ke mana arah mangsa dibawa arus sungai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, pencarian malam tadi dilakukan pada jarak radius 700 meter arah hilir sungai bermula dari lokasi mangsa dilaporkan terjun.

Beliau berkata, hanya kesan tapak kaki dipercayai milik mangsa  ditemui semalam yang disyaki ketika dia naik ke daratan berdekatan Pangkalan Feri Lama Sungai Buloh namun kelibat mangsa masih tidak dijumpai,” katanya.

Anggota Bomba dan Penyelamat yang terlibat dalam Ops SAR bagi mencari mangsa yang dikata terjun ke sungai dekat pangkalan feri lama Sungai Buloh, Simunjan.

Tambah jurucakap JBPM, menurut seorang saksi kejadian, mangsa terbabit didakwa melari diri daripada kepungan orang kampung kerana berkemungkinan terlibat dengan kegiatan tidak sihat.

Mangsa dikatakan melarikan diri lari menuju ke Pengkalan Feri Lama Sungai Buloh untuk bersembunyi.

“Dalam keadaan air sungai yang tidak berapa deras mangsa dikatakan berenang dan mengelakkan diri dari sesiapa sahaja termasuk pemancing yang melihat dan menyelamatkannya.

Jelasnya, maklumat serta identiti penuh individu yang dikatakan hilang terbabit masih tidak diketahui dan  dalam siasatan pihak polis.

“Operasi SAR akan diaktifkan semula sekiranya terdapat petunjuk baru mengenai laporan kehilangan orang diterima daripada pihak polis,” katanya. — DayakDaily

Advertisement