SAR cari dua peserta Sarawak Adventure Challenge tersesat dilancar

Anggota BBP Lundu sudah bergerak ke lokasi mangsa hilang.

LUNDU, Oktober 12: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu hari ini melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua orang peserta Sarawak Adventure Challenge yang tersasar dari laluan perlumbaan di sini.

Pusat Operasi Bomba Negeri Sarawak menerima panggilan kejadian pada jam 10.53 pagi dari salah seorang mangsa melalui MERS999.

“Pengadu bersama seorang lagi rakan yang sesat sebelum itu telah menghubungi penganjur, namun gagal dan seterusnya menghubungi 999 untuk memohon bantuan.

“Sehubungan itu, PPgB Chong Bui Chian dan PPgB Sophi Idris secara kebetulan sebagai peserta, apabila menamatkan perlumbaan telah mengetuai operasi SAR bersama tiga anggota BBP Lundu dan seorang wakil penganjur bergerak ke lokasi mangsa hilang,” menurut PGO Bomba Negeri Sarawak.

Kedua-dua mangsa ialah Chai Shiaw Fung (perempuan) dan Lee Swee Boon (lelaki).

Kawalan BBP Lundu telah cuba menghubungi semula mangsa namun gagal dan operasi SAR masih lagi dijalankan.— DayakDaily