Sang bedal sesat di Baraj Sungai Sarawak ditangkap

Anggota APM berjaya menangkap seekor buaya sesat.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 9: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuching berjaya menangkap seekor buaya sesat yang dikesan di tebing Baraj Sungai Sarawak di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Hafizul Samah berkata, sang bedal sepanjang kira-kira 1.5 meter itu ditangkap pada pukul 9.30 pagi.

Menurutnya, sebelum itu pihak APM menerima laporan berhubung penemuan reptilia tersebut daripada pekerja di baraj berkenaan.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota APM bergegas ke tempat penemuan buaya berkenaan.

“Apabila tiba, anggota APM mendapati sang bedal tersebut masih berkeliaran di kawasan tebing baraj tersebut,” katanya di sini hari ini.

Hafizul menambah, pasukan berkenaan kemudian bertindak menangkap buaya itu bagi memastikan kawasan tersebut selamat daripada sebarang ancaman bahaya.

Katanya, anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit bagi menangkap reptilia ganas tersebut.

“Buaya tembaga itu kemudian dibawa ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi. — DayakDaily