Pengasuh disyaki dera dua bayi diberkas polis

Suspek (kiri) ditahan oleh polis untuk membantu siasatan.

Oleh Dean Adam

SIBU, Jan 9: Seorang pengasuh wanita yang disyaki mendera dua bayi diberkas polis di sebuah rumah di Jalan Permai di sini.

Suspek berusia 39 tahun itu diberkas susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa kepada mangsa petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Acp Stanley Jonathan Ringgit berkata, berdasarkan laporan diterima, suspek disyaki mendera dua bayi masing-masing berusia sembilan bulan dan satu tahun enam bulan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan doktor, kedua-dua bayi itu mengalami pendarahan dan kembang pada bahagian dalam otak.

“Tidak cukup itu, bayi berkenaan juga mengalami kecederaan pada kedua-dua mata serta keretakan tulang di bahagian kepala,” katanya di sini hari ini.

Stanley menambah, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sibu untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001atas kesalahan mendera kanak-kanak,” ujarnya. — DayakDaily