Sambutan Hari Sarawak 2020 diadakan di Miri

Lee (tengah) mempamerkan poster Sambutan Hari Sarawak 2020 yang bakal diadakan di Miri.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 JULAI: Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini bakal diadakan dalam suasana tertutup di Bandaraya Miri.

Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Datuk Lee Kim Shin berkata ia hanya melibatkan seramai 250 jemputan khas dan diadakan di Hotel Pullman, Miri.


Namun katanya, penduduk Sarawak boleh menonton siaran langsung sambutan melalui melalui TV3, TVSarawak, Sarawak Event Channel, Astro Awani serta Facebook Live pada malam tersebut pada jam 9.00 malam.

“Kita harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), maksima 250 orang sahaja,” katanya pada sidang media di Komplek DUN di Petra Jaya hari ini.

Menurut Lee, Sambutan Hari Sarawak 2020 dengan tema ‘Sarawak Cemerlang’itu nanti akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, walaupun menghadapi cabaran pandemic Covid-19, kita tetap akan meraikan sambutan Hari Sarawak kerana ianya amat siginifikan untuk diketahui oleh semua rakyat Sarawak dan Malaysia, amnya.

“Dengan tema ‘Sarawak Cemerlang’, sambutan dilihat sebagai platform untuk menyampaikan mesej kemajuan, pembangunan dan perpaduan negeri yang telah dikecapi selama ini.

“Sarawak akan terus mengorak langkah kecemerlangan kearah menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujar beliau.

Tambah Lee, pelbagai pengisian menggunakan platform digital telah disusun dan diatur oleh Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri selaku penganjur utama sambutan.

Antara program pengisian Sambutan Hari Sarawak 2020 ialah Dokumentari Khas-Marek, Kinek Tok & Kelak, Sitcom-Kampong Selepar Putus, persembahan video pendek-Kebanggaan Kamek, persembahan Lagu Khas- “Tok Bok Sarawak”.

Persembahan Koir Medley lagu Sarawakku Sayang & Pertiwiku Tercinta oleh okestra dan 40 orang penyanyi koir bakal menjadi acara kemuncak sambutan.

Turut hadir pada sidang media Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil dan Menteri Muda Pelancongan Datuk Sebastian Ting.—DayakDaily