Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Bintulu

Dr Rundi (duduk dua dari kiri) pada sidang media di Bintulu.

KUCHING, 22 Ogos: Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Bintulu pada 16 September ini.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah yang juga Menteri Bertanggungjawab Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, dianggarkan seramai 5,000 tetamu akan hadir meraikan sambutan itu nanti.

Yang Dipertuan Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib bakal menjadi tetamu kehormat sambutan yang diadakan di Lasar Kenyalang, Lapangan Terbang Lama Bintulu mulai jam 8 malam.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kerajaan menerusi jawatankuasa penganjur telah menyusun pelbagai acara dan persembahan semasa sambutan nanti.

“Kita menjemput penyanyi dari Sabah dan juga Semenanjung Malaysia selain penyanyi tempatan dan persembahan tarian etnik Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Malaysia 2022 di Bintulu hari ini.

Tambah Dr Rundi, antara penyanyi yang dijemput ialah M Nasir yang terkenal dengan lagu patriotik, Ramles Walter, Florence Lo dan Safar Ghafar.

Tema Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak ialah ‘Keluarga Malaysia Bersama’ .

“Ini bersesuaian dengan Sambutan Keluarga Besar Malaysia yang diwar-war perdana menteri baru-baru ini.

“Kita menganggap tema ini penting dan signifiken untuk kita mengukuhkan keharmonian dan perpaduan negara Malaysia,” ujar Dr Rundi.

Pertunjukkan bunga api akan turut diadakan bagi memeriahkan malam sambutan itu nanti. — DayakDaily