Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak secara hibrid, dihadkan 100 tetamu

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 17 Ogos: Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak pada 31 Ogos ini akan diadakan secara hibrid dan dihadkan kepada 100 orang tetamu ekoran pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, acara sambutan akan disiarkan secara langsung melalui FB UKAS, TV Sarawak dan Radio RTM pada malam itu.

Katanya, tetamu kehormat adalah Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.


Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

“Sambutan Hari Kebangsaan memberi peluang untuk kita mengenang dan memahami akan harga kemerdekaan, bahawa kemerdekaan itu bukan benda yang dapat dibeli tetapi kena ada usaha, perjuangan dan pengorbanan,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Tambah Karim yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan 2021, persembahan khas berjudul ‘MALAYSIA PRIHATIN’ akan dipertontonkan pada malam itu nanti.

Katanya, ia memaparkan kisah perit getir para pejuang dalam membebaskan negara dari belenggu penjajah dan kini kemerdekaan terus diperjuangkan bagi melawan Covid-19 yang melanda negara.

Persembahan lain ialah Tarian Negaraku Tercinta, Video Dokumentari Sejarah – ‘Tanahairku Tumpah Darahku’ dan persembahan muzikal yang bertajuk ‘Semangat Anak Sarawak’.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan dan Perindustrian Datuk Malcolm Mussen dan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden. — DayakDaily