Sambutan Hari Jadi Ke-85 TYT Pehin Sri Taib 8 hingga 10 Oktober

Dr Rundi (tengah) pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada 27 Sept 2021. Foto kredit: Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING, 27 Sept: Sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-85 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan diadakan bermula pada 8 hingga 10 Oktober ini di Bandaraya Kuching.

Menteri Utiliti merangkap Menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, lima acara utama akan berlangsung bagi memeriahkan sambutan.

Katanya, sambutan pada kali ini juga akan berlangsung dengan norma baharu dengan jumlah yang terlibat adalah terhad iaitu tidak melebihi 300 orang.


“Sambutan akan bermula dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek di Kuching yang dihadiri Tun Taib dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Bujang dijangka akan turut hadir sama.

“Sambutan kali ini juga akan menyaksikan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) melakukan majlis kesyukuran yang sama sinonim dengan keharmonian kepelbagaian agama negeri ini,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Dr Rundi berkata, acara utama pada 9 Oktober adalah Pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tun Taib di Dataran Perbarisan, Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ujarnya, sambutan akan diteruskan dengan Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat dan Pangkat Negeri kepada para penerima di Dewan Lapau DUN.

“Pada sebelah malam, Tun Taib akan menghadiri majlis makan malam bersama-sama menteri kabinet dan tetamu kehormat yang lain yang diadakan di Pusat Kovensyen Borneo Kuching (BCCK),” ujar beliau.

Beliau berkata, pada 10 Oktober, Tun Taib akan menghadiri majlis jamuan teh di Dewan Santapan DUN.

Tun Taib dilahirkan pada 21 Mei, 1936 dan beliau mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014. — DayakDaily