Samarahan – Gedong berpotensi sebagai pembekal makanan kepada hampir sejuta populasi Bandaraya Kuching

Abang Johari (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia 2022. Turut kelihatan Abdul Karim (kanan).

Oleh Chris Bishop

GEDONG, 16 Julai: Samarahan termasuk daerah Gedong, Simunjan dan Sebuyau berpotensi dibangunkan dengan aktiviti pertanian bagi membekalkan makanan kepada hampir sejuta populasi Bandaraya Kuching.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Persembahan Seni Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, hasil tani dan hasil laut kini boleh dipasarkan dengan mudah dengan terbinanya sistem jalanraya yang baik.

“Dahulu adalah sukar bagi pekebun dan nelayan untuk menjual hasil masing-masing kerana sistem perhubungan yang tidak memuaskan.

“Namun kini, Bandaraya Kuching telah dihubungkan ke Samarahan, Simunjan, Sebuyau dan Gedong oleh satu sistem perhubungan yang baik.

“Hasil tani boleh dihantar dengan mudah ke Kuching bagi memenuhi permintaan penduduknya,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Patinggi Ali di Gedong hari ini.

Majlis telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, ramai penduduk luar bandar kini telah menetap di Bandaraya Kuching untuk bekerja.

Katanya, ini menyebabkan banyak taman perumahan dibina termasuk di kawasan pinggir bandar.

“Ini menunjukkan jumlah penduduk Bandaraya Kuching sudah bertambah di mana dahulu adalah sekitar 600,000 ke 700,000 ribu.

“Manakala di pinggir bandar pula ialah sebanyak 200,000. Maka hampir sejuta populasi Kuching memerlukan makanan.

“Oleh itu, daerah Samarahan, Simunjan, Sebuyau, Gedong, Lundu serta Bau memainkan peranan penting sebagai pemebekal makanan ke Kuching,” ujar Abdul Karim.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi. — DayakDaily