Salah guna visa pelancong dan visa umrah untuk ibadah Haji, lesen dibatal serta merta – Tiong

Dato Sri Tiong King Sing
Advertisement

KUCHING, 18 Mei: Lesen agensi pelancongan yang terbukti terlibat dalam penyalahgunaan visa pelancong dan visa umrah untuk tujuan ibadah haji akan dibatalkan serta merta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, indiden ini telah berulang kali terjadi dan yang menjadi mangsa adalah rakyat.

“Baru-baru ini kira-kira 300 jemaah haji terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah oleh agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Advertisement

“Saya sedang meneliti insiden ini dan berdasarkan maklumat yang saya terima, 300 jemaah haji yang pergi ke Makkah ini telah dimaklumkan bahawa pas pelancong yang mereka gunakan boleh ditukarkan kepada umrah atau haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tiong, Kementerian memandang serius perkara ini kerana melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah.

Buat masa ini katanya, para jemaah yang terkandas disarankan untuk membuat laporan kepada Tabung Haji dan pihak kedutaan Malaysia di Jeddah.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya amat menghormati semua individu atau mana-mana pihak tanpa mengira kaum atau latar belakang yang berbeza.

“Namun, mana- mana individu yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil secara adil,” tegas Tiong. — DayakDaily

Advertisement