Safri terima Anugerah Pengakap Tertinggi

Safri menerima Bintang Pengakap Kenyalang daripada Taib. Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

KUCHING, 27 Julai: Naib Presiden Majlis Pengakap Sarawak merangkap Pengerusi Yayasan Pengakap Sarawak, Tan Sri Safri Awang Zaidel menerima Bintang Pengakap Kenyalang, Anugerah Pengakap tertinggi di Sarawak di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Penaung Persatuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak.

Safri berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak ke-6 dari 1982 hingga 1992.


Beliau pertama kali memegang jawatan kepimpinan pengakap pada tahun 50-an apabila dilantik sebagai Ketua Pengakap Pasukan Pengakap Laut Maderasah Melayu.

Di bawah inisiatifnya, Yayasan Pengakap Sarawak telah ditubuhkan untuk membantu mengumpul dana untuk pergerakan pengakap dan mencari harta dengan harapan untuk memacu pergerakan itu untuk lebih berdikari dalam hal kewangan pada masa akan datang.

Sementara itu, turut menerima Anugerah Bintang Semangat Padi Emas, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam majlis sama, seramai tujuh penerima Bintang Pengakap Kenyalang, 17 orang ahli pengakap menerima Pingat Ketua Pengakap Sarawak, 29 orang menerima Pingat Yang di-Pertua Majlis Pengakap Sarawak dan seramai 21 orang menerima Sijil Pengakap Raja.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhanjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Professor Dato Mohd Zin Bidin dan Presiden Majlis Pengakap Negeri Sarawak Tan Sri William Mawan. — DayakDaily