Sabung ayam berakhir dengan tragedi, enam lelaki ditahan

Mangsa dilihat sebelum kejadian, sedang siap sedia melaga ayam laganya.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

BINTULU, 30 Ogos: Seumpama perpatah lama ‘senjata makan tuan’, seorang lelaki di sini pada Ahad lepas dilaporkan terbunuh selepas dia ‘ditikam’ oleh ayam laganya sendiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili, kejadian itu berlaku apabila ayam jantan itu dipercayai tiba-tiba ‘panik’ pada ketika ia sedang ‘disiapkan’ tuannya untuk bersedia bagi sebuah perlawanan dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang di sebuah kebun di Batu 21, Jalan Bintulu-Miri, Bintulu.

Advertisement

Ayam laga itu kelihatan agresif dan mengejar mangsa sebelum taji yang dipasang di kakinya mencederakan peha lelaki berusia 42 tahun itu.

Mangsa dilaporkan mengalami pendarahan yang banyak sebelum maut di Hospital Bintulu.

Zulkipli berkata susulan kejadian tersebut polis telah menahan seramai enam lelaki tempatan, berumur 31 hingga 53 tahun, antaranya seorang tuai rumah, pemilik kebun tempat sabung ayam dijalankan dan beberapa individu yang dipercayai penganjur yang boleh membantu siasatan di dalam kes ini sekitar jam 1.30 petang hari ini.

“Kesemua suspek akan direman pada Ogos 31 (esok) di Mahkamah Majistret Bintulu untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek lain yang terlibat dan mengesahkan kejadian tersebut,” ujarnya.

Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut. — DayakDaily

Advertisement