S4S: Pilih calon jaga hak dan kepentingan Sarawak

File photo of a previous S4S gathering at Padang Merdeka.

KUCHING, Mac 9: Sarawak for Sarawakians (S4S) menggesa rakyat mengundi pihak dan calon yang bersungguh-sungguh mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak pada pilihanraya negeri akan datang.

Jurucakap S4S Jeffrey Liew berkata kini tiba masanya untuk menjaga kepentingan negeri setelah Sarawak menyumbang kepada persekutuan selama 50 tahun.

“Rakyat Sarawak harus mempertimbangkan dengan teliti pada pilihanraya nanti. Kini tiba masanya untuk menjaga kepentingan Sarawak sendiri,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Tambah beliau, sejak tahun 1960-an, Sarawak menyertai persekutuan dan sumber alam semulajadi negeri yang kaya telah dikawal oleh persekutuan.

Liew mendakwa kekayaan Sarawak digunakan untuk menampung 80 peratus penduduk di Semenanjung Malaysia.

“Mereka menikmati pelbagai jenis kemudahan moden, pendidikan dan faedah perubatan. Sebaliknya Sarawak tidak mempunyai lebuh raya yang baik, apatah lagi bekalan air dan elektrik, sekolah dan klinik serta kemudahan asas yang lain,” ujar beliau.

Sabtu lepas (7 Mac), gerakan S4S menyatakan hasrat bertanding pada Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) melalui gabungan Pakatan Referendum.

Jurucakap S4S, Alex Leong, berkata mereka pada ketika ini sedang mengenalpasti calon-calon yang sesuai.

Sebelum ini, S4S pernah menyatakan hasrat untuk bertanding di kesemua kerusi-kerusi utama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, termasuk kawasan pedalaman.

S4S juga sedang berusaha untuk mendafter gerakan tersebut sebagai sebuah pertubuhan yang sah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk menubuhkan parti politik. — DayakDaily