RUU Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 banteras penyelewangan barang kawalan

Datuk Rosol Wahid

KUCHING, 21 Mac: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 adalah untuk memperkasa peruntukan-peruntukan berhubung penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid, RUU ini juga bagi memperjelas dan memperincikan peruntukan-peruntukan yang berhubung dengan pengendalian barang-barang sitaan.

Katanya, ia adalah supaya tindakan penyitaan dan rampasan dapat dilakukan dengan lebih praktikal dan selamat.


“Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 ini telah melalui semakan dan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 31 Disember 2020.

“Peruntukan-peruntukan yang dicadang untuk dipinda dan dimasukkan di dalam RUU ini juga telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 3 November 2021,” katanya.

Rosol berkata demikian pada bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 di Sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau, cadangan tersebut adalah untuk meminda Akta Kawalan Bekalan 1961 yang merupakan suatu Akta di bawah seliaan KPDNHEP bagi mengawal selia perdagangan barang-barang kawalan di dalam negara.

Akta 122 kata Rosol adalah penting bagi memastikan wujudnya keseimbangan pembekalan dan harga yang mana mudah terkesan akibat faktor-faktor seperti kenaikan harga bahan mentah, bencana alam ataupun sikap peniaga yang sengaja menyorokkan barang-barang kawalan.

“Melalui Akta 122 ini, Kerajaan dapat memastikan stok barang-barang kawalan mencukupi dan mudah didapati pada setiap masa dan keadaan,” ujar beliau.

“Akta ini memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan apa-apa makanan dan barang keperluan asas sebagai barang-barang kawalan.

“Pengisytiharan barang kawalan tersebut membolehkan Kerajaan mengawal selia pengeluaran, pengedaran, penjualan dan penyimpanan barang-barang kawalan bagi mengelakkan aktiviti manipulasi bekalan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegas beliau. — DayakDaily