Rumah Terbuka Hari Raya tonjolkan semangat erat perpaduan kaum, kata Simoi

Simoi (duduk dua dari kiri) merakamkan gambar bersama tetamunya.
Advertisement

SRI AMAN, Jun 18: Ratusan pengunjung dari pelbagai bangsa memeriahkan jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Simoi Peri di Kampung Muhibbah di sini.

Majlis itu jelas meriah apabila pengunjung mengambil kesempatan bertemu dan bermesra serta bermaaf-maafan termasuk dalam kalangan bukan Islam seperti kaum Cina, Iban serta kaum lain.

Kebanyakan pengunjung yang hadir adalah penduduk tempatan di sini dan tetamu dari seluruh DUN Lingga.

Advertisement

Sementara itu, Simoi berkata, beliau gembira dengan semangat perpaduan dan hormat-menghormati yang masih menjadi amalan dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Menurutnya, pengunjung didapati begitu gembira dan ceria menghadiri majlis tersebut termasuk membawa bersama-sama ahli keluarga.

“Saya gembira apabila melihat pengunjung tanpa mengira bangsa dan agama duduk semeja menjamu selera.

“Saya berharap amalan mulia ini akan terus berkekalan untuk mengeratkan perpaduan sekali gus menjamin kesejahteraan dan keharmonian pada masa hadapan,” katanya lagi.

Simoi menambah, pelbagai hidangan disediakan untuk jamuan antaranya sate, kambing panggang, kebab, gulai ayam, kuih muih dan pelbagai jenis minuman yang lazat.

Katanya, para tetamu turut disajikan dengan dendangan lagu-lagu raya.

“Aidilfitri adalah peluang untuk saling bermaafan dan mengunjungi, justeru ini waktu terbaik untuk mengunjungi rumah terbuka,” katanya. — DayakDaily

Advertisement