KUCHING, 25 Julai: Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berjaya menghalang kebakaran merebak di Taman Cahaya Aman, Petra Jaya semalam.
Jurucakap Bomba berkata kebakaran melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat itu dilaporkan berlaku pada jam 6.58 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah teres yang telah terbakar 100 peratus.
“Anggota Bomba kemudian terus melakukan pemadam secara ‘offensive’ dan telah berjaya menghalang kebakaran dari merebak ke rumah lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 8 malam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily