Dua cedera dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Jalan Kuching-Serian

Keadaan di lokasi kemalangan.

SERIAN, 25 Julai: Dua dilaporkan cedera, manakala tiga lagi selamat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Batu 29 Jalan Kuching-Serian hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan tersebut dilaporkan berlaku pada jam 7.41 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah pikap jenis Ford Ranger dan dua buah kereta jenis Proton Saga.

“Seorang wanita iaitu penumpang Ford Ranger dikeluarkan pihak Bomba dan diserahkan kepada pihak ambulans kerana mengalami kecederaan di kepala.

“Seorang lagi lelaki (pemandu) dari sebuah Proton Saga mengalami luka kaki kiri dan telah dikejarkan ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala dua lagi mangsa iaitu pemandu dan penumpang sebuah lagi Proton Saga dan pemandu Ford Ranger dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Bomba kemudian bertindak memutuskan sambungan wayar bateri pada kesemua kenderaan terlibat kemalangan.

“Pihak Bomba juga menjalankan kerja-kerja ‘flushing’, membersihkan serpihan kaca dan kesan minyak di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.39 pagi. — DayakDaily