Rumah pekerja musnah terbakar

Keadaan api sedang marak membakar rumah pekerja.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Nov 10: Sebuah blok rumah pekerja yang menempatkan 10 pintu musnah dalam satu kebakaran di Nanga Bawai di sini malam tadi.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Erwandy Tugor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.16 malam.

Katanya, sejurus itu, sepasukan 17 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Perjalanan ke lokasi melalui jalan darat adalah sejauh 20 kilometer, seterusnya menyeberangi sungai ke rumah pekerja itu selama 15 minit.

“Semua peralatan pemadaman dan penyelamatan dibawa menggunakan perahu panjang penduduk kampung,” katanya di sini hari ini.

Apabila tiba, komander operasi melapor kebakaran melibatkan satu blok rumah pekerja 10 buah pintu berstruktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

“Pihak bomba telah bertindak membuat pemadaman dengan mendapat sumber air dari sungai berhampiran dan api terkawal pada pukul 9 malam.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily