KOTA SAMARAHAN, Jun 26: Sekumpulan pekerja tapak pembinaan yang sedang sibuk bekerja terkejut apabila sebuah rumah pekerja yang menempatkan lima bilik di Jalan Dato Mohd Musa terbakar, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi itu telah mengakibatkan para pekerja di situ tinggal sehelai sepinggang disebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan masing-masing.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Kam Leman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.26 pagi.
Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila sampai, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah pekerja yang berstruktur jenis tidak kekal di situ.
“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemadaman dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.58 pagi,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kam memberitahu, kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan.
Katanya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih disiasat lagi.
“Operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.19 tengah hari,” ujarnya lagi. — DayakDaily