SELANGAU, 23 Ogos: Rumah Panjang Jungan Tamin di Batu 36 Jalan Sibu-Selangau, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan kebakaran tersebut pada jam 6.58 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dan Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan 37 pintu rumah panjang tidak kekal telah terbakar.
“Kerja-kerja overhaul masil lagi dijalankan setakat jam 12.30 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Jelasnya juga, tiada kecederaan dan kemalangan dilaporkan setakat tengah hari tadi.
Rumah panjang tersebut didiami 171 orang penghuni, termasuk enam bayi dan 50 kanak-kanak.
Hadir sama di lokasi kejadian ialah anggota Polis dan Angkatan Pertananan Awam Malaysia (APM). — DayakDaily