Rumah panjang 20 pintu di Ngemah Hulu, Kanowit terbakar

Keadaan rumah panjang tersebut yang terbakar.

KANOWIT, 7 Mei: Sebuah rumah panjang 20 pintu di Skim Penempatan Semula, RASCOM Nanga Jagau, Ngemah Hulu, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran malam tadi (Khamis).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10.10 malam.

“Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit maklum menerima laporan melalui aplikasi WhatsApp daripada ketua masyarakat kawasan Ngemah Hulu.


“Maklumat awal yang diterima adalah kekebaran melibatkan sebuah rumah panjang dua tingkat dan mempunyai 20 pintu telah terbakar pada jam 9.10 malam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, kesemua penghuni rumah panjang tersebut dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dan selamat.

“Bomba akan bergerak ke lokasi pada esok (hari ini) kerana hari gelap dan cuaca hujan lebat.

“Dimaklumkan juga, laluan ke lokasi melalui jalan balak dan mengambil masa perjalanan yang lama,” katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily