Rumah musnah 40 peratus dalam kebakaran di Sibu Jaya

Anggota Bomba sedang memadam kebakaran.

SIBU, 5 Mei: Sebuah rumah di Sibu Jaya, di sini dilaporkan terbakar sekitar jam 2.20 petang tadi (Rabu).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata bertindak kepada laporan tersebut, beberapa anggota dari Balai Bomba Sibu Jaya terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Setiba pasukan Bomba di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran sebuah rumah jenis kekal, di mana sebuah bilik tidur telah terbakar.


“Bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan dua salur bantu untuk mengawal kebakaran peringkat awal dari luar rumah dan pemadaman secara terus ke kawasan yang terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, peratusan kebakaran tersebut dianggarkan 40 peratus keseluruhan bangunan.

“Saksi di tempat kejadian memberitahu kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik tidur.

“Bagaimanapun, mujur tiada penghuni di dalam rumah dan tiada melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa semasa kebakaran berlaku,” katanya. — DayakDaily