Isytihar Belaga Bahagian ke-13, PKR gesa Kerajaan Negeri beri respon positif

Abun Sui Anyit

KUCHING, 5 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang menggesa Kerajaan Sarawak memberi respon positif terhadap permintaan mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian yang ke-13 Sarawak.

Ketuanya Abun Sui Anyit berkata, setakat ini belum ada respon rasmi dari Kerajaan Sarawak sama ada positif atau negatif.

“Memang tidak boleh dinafikan bahawa majoriti kalau tidak semua penduduk Daerah Belaga menggesa Kerajaan Sarawak mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian yang ke – 13 Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Abun, Mukah suatu ketika diisytiharkan sebagai Bahagian walau belum maju.

Setelah itu katanya, Mukah telah menjadi lebih pesat maju, malah lapangan terbang Mukah pun telah dibina dan boleh menampung kapal terbang boeing 737.

“Empangan Mega Hidro Elektrik Bakun dan Empangan Mega Hidro Elektrik Murum terletak di Belaga.
“Inilah lambang pengorbanan dan sumbangan besar rakyat Belaga kepada Negara.

“Maka Belaga juga wajar diangkat dan diisytihar menjadi Bahagian Ke-13 sekarang,” ujar Abun. — DayakDaily