Rumah, motosikal dan kereta terbakar di Kpg Stenggang, Bau

Pasukan Bomba menjalankan operasi di lokasi kejadian.

BAU, 2 April: Sebuah rumah, dua motosikal dan sebuah kereta dilaporkan musnah dalam kebakaran di Kampung Stenggang, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.32 tengah hari.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau diketuai Ketua Balai, Tawang Linggem dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman jenis separuh kekal dua tingkat telah terbakar 100 peratus.

“Kebakaran turun melibatkan dua buah motosikal serta sebuah kereta dan kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan keluaran operasi bertindak melakukan pemadaman secara defensive dengan menggunakan satu aliran air daripada pam jentera dan satu aliran lagi daripada pili bomba.

“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 1.15 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 2.53 petang,” katanya.

Semasa kejadian hanya sepasang suami isteri berada di rumah dan tiga anak mereka tiada di rumah.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily