Rumah mampu milik Sri Pertiwi di Dataran Moyan dilancar

Dr Sim (lima kanan) bersama tetamu kehormat yang lain memotong reben sebagai simbolik pelancaran Program Rumah Mampu Milik Sri Pertiwi di Dataran Moyan, Batu Kawa.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Jan: Program Rumah Mampu Milik (RMM) Sri Pertiwi khusus untuk golongan B40 di Dataran Moyan, Batu Kawa, dilancarkan hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Advertisement

“Kerajaan negeri telah bersetuju dengan pelaksanaan program perumahan ini untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat dari golongan B40, iaitu mereka yang berpendapatan RM4,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Untuk memastikan ia mampu dimiliki golongan sasar, kerajaan telah menetapkan harga rumah ini tidak melebihi RM300,000 seunit,” katanya pada majlis pelancaran.

Tambah Dr Sim lagi, program rumah mampu milik yang dibangunkan syarikat swasta ini buat masa sekarang hanya dilaksanakan di Kuching, Kota Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri.

Katanya, pemaju iaitu Sendayan Group of Companies menyediakan rumah yang berkualiti dan ia sesuai untuk para graduan yang baru bekerja dan yang baru berkahwin.

Program Rumah Mampu Milik Sri Pertiwi di Dataran Moyan menyediakan sebanyak 300 unit rumah.

Dalam pada itu, Dr Sim menegaskan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk projek perumahan tidak sesuai dilaksanakan di Sarawak pada masa kini.

Menjawab pertanyaan pemberita di majlis tersebut, beliau berkata kos pembinaan menggunakan kaedah tersebut tidak kompetitif jika dibandingkan di Semenanjung Malaysia.

“Inilah penyebab kerajaan negeri dalam tempoh 3 tahun ini tidak melaksanakannya polisi kerajaan pusat ini.

“Sarawak hanya akan melaksanakan polisi yang bersesuaian dengan negeri ini sahaja,” katanya. — DayakDaily

Advertisement