Fatimah gesa PERKIM Sarawak capai prestasi tinggi

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 11 Jan: Menteri kebajikan Datuk Seri Fatimah Abdullah mahukan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sarawak menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berprestasi tinggi.

Beliau yang juga Naib Pengerusi PERKIM Negeri Sarawak turut mahukan pertubuhan itu memiliki kredibiliti dan berkeupayaan untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Berdasarkan tema ‘Islam Itu Persaudaraan’, ini adalah suatu permulaan bagi PERKIM untuk merancang program dan aktiviti, halatuju dan visi untuk tahun 2020.


“Ahli-ahli Perkim harus mengeratkan silaturrahim bersama saudara baru, memperkasa ahli-ahli mengikut keperluan dan menjalankan aktiviti kebajikan,” kata Fatimah, yang merupakan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak.

Beliau berkata demikian di perasmian Mesyuarat Agung PERKIM Kali ke-26 Daerah Dalat/Oya Tahun 2020 yang diadakan di Dewan Masyarakat Oya hari ini.

Mesyuarat telah dihadiri oleh 91 orang ahli-ahli PERKIM.

Bagi memastikan kejayaan setiap program, Fatimah menyarankan agar PERKIM bekerjasama dengan rakan strategik.

Menurut beliau, kerjasama itu melibatkan skuad kasih sayang, Jabatan Agama Islam Sarawak, Tabung Baitulmal, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah dan banyak lagi.

Pada mesyuarat itu, beliau turut meluluskan geran projek luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada PERKIM Bahagian Dalat/Oya bagi menjalankan aktiviti. — DayakDaily