Rumah lima kali terbakar, disyaki angkara khianat


KUCHING, 21 April: Misteri rumah terbakar lima kali di Jalan Satok di sini terjawab apabila tiga lelaki tempatan berjaya ditangkap pada 19 dan 20 April baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata satu pasukan khas ditubuhkan untuk merungkai misteri tersebut susulan tiga laporan polis yang diterima sejak berlakunya insiden tersebut.

Katanya, tangkapan dibuat ke atas tiga lelaki berusia 19,20 dan 32 tahun kerana disyaki melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran berulang ke atas rumah yang sama.


“Pada 19 April, dua suspek ditangkap di Jalan Muda Hashim, di mana kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 25 April ini.

“Manakala suspek ketiga ditangkap di Jalan Satok dan permohonan reman suspek sudah dipohon hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon selain itu menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

“Jangan buat spekulasi memandangkan siasatan menyeluruh telah dijalankan dan diklasifikasi sebagai selesai,” katanya. — DayakDaily