SIBU, 27 Ogos: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Jalan Ing Guang, Sungai Bidut, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan berhuhung kejadian pada jam 12.59 tengah malam.
Katanya, anggota bomba kemudian terus dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus dan turut terbakar sebuah Toyota Avanza serta tiga motosikal.
“Anggota Bomba kemudian segera mengawal kebakaran dari merebak ke bangunan tadika bersebelahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Rumah tersebut didiami sebuah keluarga iaitu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak,” katanya.
Setelah mendapati keadaan selamat dan dan kebakaran padam sepenuhnya, anggota Bomba kemudian berangkat balik ke balai.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily