Tujuh individu ditahan susulan kemalangan maut di Jalan Taman Tunku

PDRM logo

MIRI, 26 Ogos: Polis menahan tujuh lelaki susulan satu kemalangan maut yang berlaku di Jalan Taman Tunku pada lewat petang Selasa (23 Ogos).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan akhbar sebentar tadi memberitahu, kesemua suspek adalah berusia di antara 15 sehingga 19 tahun.

Katanya, satu laporan polis berhubung kejadian telah diterima pada Jumaat (26 Ogos) jam 2.56 petang.


Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa sekitar jam 6.15 petang itu, sekumpulan remaja lelaki telah menungang motorsikal bersama-sama dan salah satu motorsikal telah bergesel dengan sebuah motorsikal yang ditunggang oleh seorang lelaki dan seorang wanita sebagai pembonceng.

Kesan daripada itu, penunggang dan pembonceng telah terjatuh di tengah jalan raya dan badan pembonceng tersebut seterusnya dilanggar oleh dua buah lagi motorsikal yang datang dari arah belakang.

Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motorsikal mengalami kecederaan parah patah paha manakala pembonceng wanita turut mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia pada 25 Ogos (Khamis) jam 11.16 malam.

“Ekoran kejadian tersebut pihak polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah membuat tangkapan ke atas tujuh orang lelaki untuk tindakan lanjut,” ujar Alexson.

Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily