Rumah dijadikan pusat kumpul barangan kitar semula terbakar kali kedua

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 12: Sebuah kediaman yang dijadikan pusat pengumpulan barangan kitar semula di Jalan Ong Tiang Swee telah terbakar, malam tadi.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 10.25 malam itu merupakan insiden yang kedua berlaku di lokasi sama pada tahun ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Di Hatta Gobel berkata, kebakaran tersebut telah menyebabkan kira-kira 70 peratus kediaman tersebut musnah terbakar.

Katanya, kepantasan pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran telah menyelamatkan dari api merebak ke kawasan lain.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Di Hatta memberitahu, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 10.30 malam.

Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Turut bersama membantu operasi pasukan bomba dari BBP Tabuan Jaya,” katanya. — DayakDaily