Rumah di Jalan Ajibah Abol terbakar, 11 orang hilang tempat berteduh

Anggota Bomba sedang memadam kebakaran.

KUCHING, 23 Okt: Sebuah rumah di Jalan Datu Ajibah Abol, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.13 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padungan dan Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sampai di lokasi, didapati benar sebuah rumah telah terbakar dan anggota Bomba terus bertindak memadam kebakaran tersebut sehingga padam sepenuhnya pada jam 9.55 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesemua penghuni rumah yang terdiri daripada 11 orang tidak berada di rumah semasa kebakaran tersebut berlaku.

Anggota Bomba kemudian berangkat balik selepas memastikan keadaan selamat sepenuhnya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily