Penunggang motosikal meninggal dunia, berlanggar dengan sebuah lori di Kuching

Mayat mangsa diangkat ke kenderaan polis untuk dihantar ke HUS.

KUCHING, 23 Okt: Seorang wanita maut, selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini semalam.

Mangsa yang berusia 21 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari arah pusat bandaraya apabila berlanggar dengan sebuah lori sekitar jam 1.25 petang.

Sumber memberitahu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik di lokasi kejadian.


Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya dan difahamkan akan dihantar ke kampung halamannya di Betong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah mengesahkan kemalangan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil membantu siasatan. — DayakDaily