Rumah banglo tidak berpenghuni terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 3: Sebuah rumah banglo di Lorong Rock, Jalan Sherip Masahor terbakar, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.06 pagi.


Jelasnya, apabila sampai di lokasi kejadian, komander operasi telah melaporkan terdapat sebuah rumah banglo yang tidak berpenghuni terbakar.

“Rumah tersebut adalah jenis banglo dua tingkat dan berstruktur konkrit jenis kekal.

“Selain itu, kebakaran berlaku secara bertompok-tompok dan bukannya di suatu kawasan rumah sahaja,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pihak bomba yang melakukan operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran pada pukul 9.55 pagi.

Katanya, kebakaran itu telah mengakibatkan 50 peratus dari bahagian rumah tersebut musnah terbakar.

“Punca kebakaran masih lagi dalam proses siasatan, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.58 pagi,” katanya. — DayakDaily