Penuntut kolej swasta dicekup, disyaki edar dadah

Rampasan dadah.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 3: Seorang penuntut kolej swasta dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, suspek berusia 22 itu diberkas di sebuah rumah di sini pada pukul 4.30 petang, Jumaat lepas.


Menurutnya, kejayaan serbuan itu adalah hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sebelum ini.

“Pemeriksaan di rumah suspek menemui 12 paket plastik lutsinar berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ‘cannabis’ seberat kasar 79.50 gram yang disembunyikan di dalam sebuah kotak kasut.

“Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak tahun lepas.

Katanya, ujian air kencing suspek juga positif dadah jenis THC.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” jelasnya. — DayakDaily