Ruai rumah panjang runtuh ketika program kempen berlangsung

Kelihatan keadaan ruai rumah panjang yang runtuh.

SIBU, Mei 3: Kira-kira 1,000 penduduk serta tetamu yang menghadiri program kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di rumah panjang Entering Usah di sini cemas apabila ruai di rumah panjang berkenaan tiba-tiba runtuh dalam satu kejadian kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, tiada laporan kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Difahamkan tiga wanita pengsan akibat terkejut dan dikejarkan ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Sementara itu, Tuai Rumah Entering memberitahu, kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba dan pantas.

Katanya, dia bersyukur kerana tiada penduduk rumah panjang yang cedera teruk, hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.

“Cuma ada yang tercalar akibat terkena paku dan kayu runtuhan.

“Kami berharap, pihak berwajib mengambil perhatian tentang kerajaan ini dengan mengambil tindakan susulan,” katanya.

Rumah panjang yang mempunyai 22 pintu bilik dan dihuni 150 penduduk itu dibina lebih 30 tahun lalu. — DayakDaily