Rombongan Dayak bersirat menaiki pesawat ke Kuala Lumpur pada 18 Mei

Peter John Jaban

KUCHING, 18 April: Rombongan seramai 92 orang akan menaiki pesawat AirAsia dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 18 Mei dengan berpakaian tradisional Dayak.

Ketua Rombangan Gabungan Orang Asal Sabah & Sarawak (GOASS) Peter John Jaban berkata, perjalanan tersebut bakal membuat rekod dan sejarah baharu.

Menurut beliau, peserta akan menaiki pesawat tanpa alas kaki dan memakai sirat dan merupakan jumlah terbesar untuk melakukan perjalanan melalui udara bersama-sama.


“Semasa di Kuala Lumpur nanti, mereka akan mengambil bahagian dalam program ‘Borneo Native Festival’ di Pasar Seni.

“Dijangka seramai 150 orang dari Sabah dan Sarawak akan mengambil bahagian dalam perarakan berpakaian tradisional pada 20 Mei 2023.

“Perarakan Budaya Tradisi akan bermula jam 4 petang dari Padang Merdeka menuju ke Pasar Seni, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rombongan delegasi tersebut, yang diketuai oleh Peter John terdahulu pernah membuat lawatan pada 30 April tahun lalu ke Kota Kinabalu.

Tambah beliau, matlamat rombongan adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang warisan peribumi Borneo. — DayakDaily