Rombongan ahli peniaga Singapura tiba di Kuching, terokai peluang Sarawak

Rombongan peniaga dari Singapura tiba di Kuching.

KUCHING, 20 Feb: Seramai 52 pemilik perniagaan dari Singapura tiba di Kuching malam ini untuk pertukaran perniagaan dan budaya yang unik.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) Chew Chang Guan berkata, rombongan ini akan meneroka peluang perniagaan di negeri ini.

Katanya, mereka akan juga meningkatkan persefahaman budaya antara Singapura dengan Sarawak.


“Pemilik perniagaan dari Singapura ini terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti industri makanan dan minuman (F&B), logistik dan pembungkusan.

“Kita akan membawa mereka bertemu dengan usahawan negeri ini dan bertukar pandangan serta menjalin kerjasama,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) malam ini.

Rombongan akan berada di Kuching sehingga 24 Februari ini.

Acara itu akan memberi peluang kepada peserta untuk meneroka perniagaan di Kuching, rangkaian dengan pemilik perniagaan lain dan mempelajari tentang landskap perniagaan di Sarawak. — DayakDaily