Rokok dan minuman keras haram bernilai RM196,250 dirampas

Khaw (duduk dua dari kiri) menjawab pertanyaan wartawan tentang kejayaan Op Libas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 26: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis rokok serta minuman keras menerusi tiga serbuan berasingan yang dilakukan di lokasi sasaran semalam.

Keseluruhan nilai rampasan menerusi tiga serbuan berasingan yang dilaksanakan bermula kira-kira 10 pagi itu ialah sebanyak RM196,250.


Menerusi Op Libas berkenaan, pasukan serbuan turut berjaya menahan dua suspek yang berusia 37 dan 68 tahun.

Komander PGA Briged Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama berjaya menemui serta merampas 175 kotak minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan sebanyak RM8,750.

Manakala serbuan kedua katanya, 20 buah kotak yang berisi 1,000 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM25,000 telah dirampas.

“Serbuan ketiga turut berjaya menemui serta merampas sejumlah 5,500 rokok pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah RM162,500,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak di sini semalam.

Mengulas lanjut, Khaw memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua barangan seludup berkenaan dipercayai dibawa masuk menggunakan laluan laut dan darat dari negara jiran.

Katanya, rokok dan minuman keras yang dirampas itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily