Rohani dilantik semula sebagai Ketua Cawangan PBB N.9 Padungan

Rohani (duduk enam dari kiri) merakamkan gambar bersama Ahli Perwakilan PBB N9. Padungan.

KUCHING, Dis 30: Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.9 Padungan hari ini telah sebulat suara melantik Dato’ Sri Rohani Abdul Karim sebagai Ketua Parti Cawangan yang baharu bagi sesi 2017-2020.

Rohani yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen P.201 Batang Lupar menang tanpa bertanding, mengekalkan jawatan ini bagi penggal ke-4 berturut-turut sejak tahun 2004.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Cawangan pula, Mohd Saperi Abdul Karim turut menang tanpa bertanding.

Jawatan Naib Ketua Cawangan pula telah dimenangi oleh Mustaie Rebi dalam pertandingan dua penjuru.

Hariah Deris serta Haidel Heli yang juga Ketua Wanita Cawangan dan Ketua Pemuda Cawangan dilantik secara automatik mengisi dua lagi jawatan Naib Ketua Cawangan.


Sementara itu, Rohani memberitahu, tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada ahli jawatankuasa baharu perlu digalas dengan penuh amanah dan dedikasi yang tinggi.

Beliau juga menggesa supaya Mesyuarat Perwakilan PBB N.9 Padungan sesi 2017-2020 yang pertama diadakan segera bagi persediaan yang mantap dan memastikan kelancarkan di peringkat cawangan menjelang Konvensyen PBB pada bulan Februari nanti.

Sementara itu Setiausaha Eksekutif PBB, Datuk Awang Bujang Awang Antek turut mengingatkan ahli mengenai Perlembagaan Parti yang perlu dipatuhi serta mesyuarat perwakilan peringkat ranting dan cawangan yang perlu diselesaikan sebelum 31 Disember 2017. — DayakDaily