RM70 juta dari kerajaan negeri untuk mempercepatkan Projek Rakyat Tinjar Fasa 2

File photo for illustration purposes

KUCHING, April 23: Kementerian Utiliti Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak hari ini mengeluarkan maklumbalas rasmi berkenaan dengan laporan media di dalam suratkhabar tempatan berbahasa English bertajuk ‘Authorities asked to install water taps at Tinjar Treatment Plant for villagers’ yang bertarikh April 19, 2019.

Menurut kenyataan Kementerian Utiliti Sarawak serta JBALB Sarawak, agensi sedia maklum mengenai isu yang dilaporkan di dalam suratkhabar berkenaan.

“Untuk makluman, kampung-kampung yang dinyatakan dalam laporan media tersebut tidak dihubungkan dengan kemudahan paip air.


“Oleh sebab itu, Projek Rakyat Tinjar Fasa 2 telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar(KPLB) Malaysia untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan Tinjar termasuk di kawasan berkenaan.

“Namun demikian, Ketua Menteri Sarawak telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM70 Juta di bawah Projek Rakyat Tinjar Fasa 2 ketika lawatan kerja rasmi beliau ke Tinjar pada bulan Mac lepas bagi tujuan untuk mempercepatkan projek berkenaan,” menurut kenyataan itu.

JBALB juga memaklumkan yang Projek Rakyat Tinjar Fasa 2 ini bakal melibatkan kerja penyambungan paip ke Kampung Bukit Limau, Long Tuyut dan Menok.

Projek dijangka bermula pada bulan Jun 2019 dan setelah siap nanti, penduduk di kawasan berkenaan akan mendapat manfaat dengan menerima bekalan air bersih dan terawat.

Kenyataan rasmi itu juga menyebut Kerajaan Sarawak melalui JBALB sedang melaksanakan Projek Rakyat Pakej Northern Region 2 (NR2) iaitu kerja penggantian paip baharu di kawasan Lapok dan Tinjar.

Projek penggantian paip telah bermula pada bulan Mac 2019 dan dijangka siap pada awal tahun 2020.

Manakala untuk inisiatif segera, pihak JBALB Bahagian Miri akan membuat penghantaran air bersih menggunakan tanker kepada pengguna di kampung-kampung berkenaan.

Pihak pengguna di kawasan tersebut juga boleh merujuk dan memohon bantuan air mineral daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Utiliti Sarawak serta JBALB Sarawak komited untuk memastikan segala isu dan masalah bekalan air diselesaikan dengan segera bagi memudahkan rakyat melakukan kerja-kerja harian.

Sekiranya terdapat masalah gangguan bekalan air atau permintaan penghantaran air boleh terus menghubungi pejabat JBALB Bahagian Miri di talian 085-442204. — DayakDaily