KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak menganggarkan sejumlah RM57 juta kerugian melibatkan kebakaran rumah panjang semasa musim perayaan Hari Gawai Dayak dari tahun 2014 sehingga 2016.
Sepanjang tempoh tiga tahun tersebut, sebanyak 58 kes melibatkan 1,064 pintu rumah panjang telah dilaporkan dan sebanyak 829 pintu rumah panjang telah terbakar.
Ketua Kesedaran Awam Bahagian Keselamatan Kebakaran Christia Corrin Tagol berkata pada minggu pertama perayaan Gawai Dayak dua tahun lepas, tiga kes telah dilaporkan, manakala kejadian sedemikian naik ke enam kes pada Mei 2016.
“Litar pintas dan kecuaian semasa memasak adalah dua penyebab utama berlakunya kebakaran dirumah panjang ini. Kecuaian berlaku apabila masakan tidak diawasi dan pendawaian yang tidak sempurna akan menyebabkan litar pintas. Memburukkan lagi keadaan, kebanyakan struktur rumah-rumah panjang ini adalah diperbuat dari kayu, di mana api senang merebak jika berlakunya kebakaran kecil,” kata Christina ketika bertemu dengan dayakdaily.com.
JBPNS telah menganjurkan pelbagai program bagi memberi kesedaran mengenai pencegahan kebakaran sepanjang tahun. Antaranya adalah Summer Camp, Fire Point, Kempen Rumah Panjang dan Bomba Komuniti.
“Kempen Rumah Panjang telah dilaksanakan di rumah panjang dengan tujuan menanam sifat kesedaran bahaya kebakaran kepada penduduk rumah panjang,” tambah Christina.
Di antara kandungan ceramah yang diadakan di setiap rumah panjang adalah seperti melatih penduduk rumah panjang tentang pendekatan yang terbaik untuk menyelamatkan diri ketika kecemasan atau semasa kebakaran berlaku di rumah.
Program tersebut juga menyediakan latihan kepada penduduk sebagai ‘first responder’ sekiranya berlaku kebakaran dengan menerangkan tatacara pemadaman kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api bagi kebakaran yang kecil. – dayakdaily.com