RM50 juta diserahkan untuk sekolah tahfiz berdaftar

Lim (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek untuk RM50 juta dari kerajaan pusat kepada Mujahid (tiga dari kanan) yang disiarkan di laman sesawang KKM (http://www.treasury.gov.my).

KUCHING, Feb 14: Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) telah menyerahkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) untuk digunakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah tahfiz yang berdaftar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyerahkan peruntukan tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof semalam.

“Kerajaan akan menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah tahfiz dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan dari pengaruh parti politik,” menurut Lim dalam kenyataan medianya di laman sesawang KKM, http://www.treasury.gov.my semalam.


Beliau berkata ini adalah susulan daripada pengumuman semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada November 2, 2018 lalu dimana kerajaan persekutuan Pakatan Harapan komited memberi bantuan kepada semua jenis sekolah secara inklusif supaya kebajikan dan hal ehwal semua pelajar terus terpelihara.

“Belanjawan 2019 membuktikan komitmen ini melalui peruntukan menaik taraf dan menyelenggara untuk jenis-jenis sekolah sebanyak RM652 juta, berbanding RM600 juta dalam Bajet 2018,”katanya.

Menurutnya ini termasuk peruntukan sebanyak RM25 juta untuk sekolah pondok berdaftar yang telah disampaikan kepada Mujahid pada awal bulan lalu, yang tidak diberikan dalam Bajet 2018.

Tambahannya lagi, peruntukan untuk hal ehwal agama Islam juga telah ditingkatkan sebanyak RM100 juta di dalam Belanjawan 2019, daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion.

“Walaupun berhadapan dengan keadaan kewangan yang mencabar, kerajaan akan berusaha untuk memberi bantuan kepada semua jenis sekolah dan institusi pendidikan yang berdaftar mengikut kemampuan semasa,” katanya.

Beliau juga menegaskan kerajaan sangat prihatin dengan kualiti pembelajaran dan kebajikan para pelajar di sekolah-sekolah yang berdaftar, dan KKM akan terus memainkan peranannya dalam meningkatkan mutu persekolahan dan pendidikan untuk semua. — DayakDaily