Kerja kecemasan pembaikian paip di kawasan Jambatan Sg Nyelong hari ini

Gambar lori yang mengalami kemalangan di Simpang Loji Rawatan Air Melugu, Sri Aman dan menyebabkan kebocoran paip semalam yang disiarkan dalam laman Facebook JBALB Sarawak.

KUCHING, Feb 14: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan melakukan kerja kecemasan pembaikian paip di kawasan Jambatan Sungai Nyelong yang akan mengakibatkan gangguan bekalan air di bahagian Sarikei petang hari ini.

Menurut notis di laman Facebook jabatan itu, kerja pembaikian paip terlibat membabitkan pemasangan “tee connection” di dua tempat di kawasan jambatan terbabit yang dijangka akan bermula 2 petang hari ini dan dijangka mengambil masa selama tiga jam bagi disiapkan.

Kawasan yang mungkin terjejas ialah sepanjang Jalan Bulat dari Simpang Stok sehingga Simpang Skim B, Jalan Kesa (Kesa Baron dan Kesa Mit), jalan SK Rentap, Jalan Pertanian Sungai Kedup, Jalan Sungai Garan, Jalan Cola, Jalan Onn Dian, Simpang Pakan, dan Sungai Joh.

Pihak JBALB Sarikei telah mengarahkan kontraktor Pan Borneo untuk mempercepatkan kerja-kerja penyambungan paip terbabit petang ini.

Sementara itu, JBALB Sarawak juga mendedahkan kebocoran paip telah dikesan di Simpang Loji Rawatan Air Melugu, Sri Aman disebabkan kemalangan sebuah lori di kawasan tersebut petang semalam.

Ini menjadi punca kepada gangguan bekalan air berlaku di kawasan Kampung Tekalong Melugu dan kawasan berhampiran dan jabatan terbabit akan segera melakukan kerja baik pulih. — DayakDaily