RM4 juta diperuntukkan bagi menaik taraf lorong kampung dan ruai di Simunjan

Abang Johari (dua dari kiri) merasmikan Masjid Darul Amillin di Kampung Tanjung Pisang. Turut kelihatan Rodiyah (depan, kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan berjumlah hampir RM4 juta bagi menaik taraf lorong-lorong di enam buah kampung di Simunjan dan ruai di Kampung Ensengei Iban.

Berucap semasa lawatan ke Kampung Pisang di Simunjan hari ini, Abang Johari berkata ia adalah bagi manfaat penduduk dan sebahagian daripada pembangunan di kawasan tersebut.


“Apa yang dimaklumkan Awla Dris (Adun Simunjan) itu tadi, lorong-loronglah, ruailah, duit tak cukuplah. Inilah guna Premier di sini, dan Setiausaha Kerajaan Negeri pun ada.

“Boleh tahan juga, lorong RM3 juta serta ruai tambah lagi, ini tiada masalah sebab kita hendak bangunkan kawasan,” kata Abang Johari.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Awla berkata lorong-lorong di enam buah kampung di Sungai Apin masih terbengkalai manakala kerja naik taraf ruai di Kampung Ensengei Iban menghadapi masalah disebabkan kontraktor yang tidak bertanggungjawab.

“Kita telah melantik seorang lagi kontraktor dengan lebihan wang RM340,000.

“Pihak Jabatan Kerja Raya memaklumkan bahawa RM1.1 juta diperlukan untuk menyiapkan ruai tersebut.

“Maka kita memerlukan sejumlah RM800,000 lagi.

“Sudah tiga tahun penduduk meraikan Gawai dan Krismas di ruai tanah di hadapan rumah,” ujar Awla.

Hadir sama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee. — DayakDaily