RM300,000 bagi setiap MP untuk pelaksanaan bantuan bakul makanan tambahan

Vegetables — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 28 Jun: Sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen (MP) untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagai tambahan program bakul makanan sedia ada dan turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik.


“Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Muhyiddin berharap, peruntukan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan Parlimen masing-masing.

Selain itu, katanya, sebanyak RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan bantuan bakul makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli. — DayakDaily