RM200 ribu untuk bantu meneres bukit Rh Rantai Nanga Semunte, Balleh, Kapit

Nanta (kiri) ketika melihat keadaan cerun di belakang rumah panjang Rantai Sedin di Nanga Semunte, Balleh, Kapit.

KAPIT, 20 Dis: Peruntukan sebanyak RM200,000 bakal disediakan bagi kerja meneres di Rumah Panjang Rantai Sedin di Nanga Semunte, Kapit

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, satu mesyuarat akan diadakan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menentukan jenis atau struktur teres dan benteng yang sesuai untuk dibina di kawasan rumah panjang tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pembinaan benteng penahan terbabit perlu dilaksanakan pada kadar segera memandangkan cerun terbabit boleh mendatang bahaya kepada penghuni di rumah panjang tersebut.


“Kita akan bincang dengan bahagian teknikal, terutama JKR, untuk menentukan bagaimana struktur benteng penahan yang akan dibina kelak.

“Pada masa sama, kita akan pastikan pembinaan benteng ini dapat dilakukan dalam kadar segera kerana cerun terbabit kurang stabil dan boleh membahayakan penghuni di rumah panjang ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan bekas runtuhan cerun di belakang Rumah Panjang Rantai di Nanga Semunte di sini hari ini.

Beliau berkata, peruntukan bagi membina benteng penahan tersebut diluluskan menerusi dana program Transformasi Luar Bandar yang disediakan menerusi setiap Ahli Parlimen.

Pada majlis berasingan, Nanta turut mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM68,000 kepada penghuni Rumah Panjang Rantai Sedin bagi membantu penghuni terbabit menambah baik rumah panjang mereka.

“Dengan bantuan sebanyak RM2,000 sepintu untuk 34 pintu penghuni di rumah panjang ini, ia diharap dapat membantu mereka (penghuni) untuk membeli simen dan jubin lantai yang diperlukan dalam proses pembinaan rumah panjang ini.

“Tidak lupa juga bagi Biro Wanita Rumah Panjang Rantai ini, saya akan salurkan sebanyak RM5,000 bagi kegunaan mereka dalak menjalankan aktiviti berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Tuai Rumah Rantai Sedin ketika ditemui berkata, kejadian runtuhan cerun di belakang rumah panjang terbabit berlaku kali pertama pada September lalu sebelum disusuli kejadian kedua dan ketiga pada penghujung September dan awal Oktober.

Kejadian tersebut katanya telah menyebabkan bahagian dapur beberapa penghuni di rumah panjang tersebut rosak teruk. ā€” DayakDaily