RM20 juta untuk projek jalan penghubung ke rumah panjang di Belaga

Abang Johari(lima kiri) pada Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak Zon 12B-Belaga dan Murum.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, FEB 29: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukkan tambahan
berjumlah RM20 juta untuk membina jalan penghubung ke rumah panjang dari jalan utama Menjawah-Belaga yang sedang dalam pembinaan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek
tersebut akan mula dilaksana pada tahun hadapan.


“Selain itu, kabinet menteri telah bermesyuarat dan bersetuju untuk
memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) untuk melaksanakan projek transformasi luar bandar(RTP).

“Di bawah fungsi JKKK, jika ada projek kecil dan sederhana kita akan berikan kuasa kepada JKKK.

“Melalui JKKK dan GPS, kita bangunkan kawasan,”katanya pada Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak(GPS) Zon 12B-Belaga dan Murum di Tapak Pesta Apau Koyan di Belaga hari ini.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut mengumumkan peruntukkan lain bagi program pembangunan di Belaga dan Murum.

Beliau memperuntukkan RM60 juta untuk pembinaan Jalan Jayong, Stadium Mini Belaga(RM10.5 juta) dan projek penyambungan grid elektrik ke Long
Dungan berjumlah RM15.5 juta.

Di samping itu, Abang Johari menegaskan bahawa Agensi Pembangunan Ulu Rajang(URDA) akan mendapat peruntukan tambahan berjumlah RM1.5 bilion
lagi.

Terdahulu katanya, URDA telah menerima RM1.5 bilion untuk melaksanakan program pembangunan di kawasan Kapit dan Ulu Rejang dalam tempoh dua tahun.

“Kerja kita belum selesai, sebagai permulaan kita peruntukkan RM1.5 bilion.

“Kita hendak tambah RM1.5 bilion lagi kepada URDA untuk bangunkan infrastruktur seperti jalanraya dan menara telekomunikasi,” katanya. —DayakDaily.